Dengan lafaz "Bismillahirrahmanirrahim..., Aku Menyayangimu..."

Thursday, March 29, 2012

Menyuntik Harga Diri Insan Lain..

Bismillahirrahmanirrahim.
Salawat dan salam ke atas kekasih Allah, Muhammad s.a.w




Saya terus merenung jauh ke dalam. Saya merasakan idea yang saya cuba kongsikan bersama orang lain adalah baik. Namun mereka menganggap idea saya itu sebagai sampah. Saya renung lalu saya kembali sedar bahawa betapa pentingnya saya menghargai harga diri mereka dahulu sebelum mereka menghargai saya.

Harga diri orang adalah apabila anda berjaya membuat orang merasa percaya dan selesa pada dirinya sendiri. Cuba anda bayang tempat kerja yang penuh dengan iri hati, cemburu, kritikan yang membuat anda rasa terhina dan bersalah, hinaan yang boleh menghancurkan diri dan arahan ketua yang bukan bertujuan untuk membantu, tetapi lebih kepada menyalahkan diri anda. Pasti anda akan merasa tidak selesa dengan diri anda dan juga dengan tempat kerja anda. Dan pernahkah anda mendengar perbualan di sekolah atau pejabat di mana guru atau pekerja merungut kerana menerima pujian, penghargaan dan pengakuan?

Apabila menerima kritikan atau penilaian, seringkali kita merasakan kita dinilai dengan begitu hina sekali. Kita selalu mengadu bahawa kita tidak pernah mendapat penghargaan atas sumbangan yang kita lakukan. Kekurangan penghargaan inilah yang membuatkan guru mengambil keputusan untuk bertukar sekolah, pekerja bertukar pejabat. Guru-guru yang berpindah sekolah bukanlah mengharapkan gaji mereka naik, tetapi mereka mengharapkan agar tempat baru lebih menghargai usaha dan tenaga mereka.

Menyuntik kepercayaan diri pada orang lain akan menghasilkan kesan yang luar biasa. Manusia ada saat ceria dan berduka. Membantu orang-orang yang sedang berduka sehingga mereka mampu tersenyum dan ketawa menjadikan mereka merasa selesa dengan diri mereka. Sekiranya anda membantu mereka, mereka pastinya bersedia apabila anda meminta bantuan mereka.

Justeru, pujilah usaha rakan dan murid anda walaupun usaha mereka sedikit sahaja. Seseorang yang telah berusaha walaupun gagal berhak mendapat penghargaan. Mereka mungkin merasa kecewa dengan hasil yang diusahakan. Tetapi penghargaan anda dapat menjadikan mereka kembali bersemangat untuk melakukan usaha yang lain atau mengulang usaha yang sama. Ketika itu anda telah berjaya mengeluarkan mereka daripada lembah kekecewaan.

Bermula daripada saat ini, marilah kita mencuba untuk memberikan pujian kepada rakan-rakan dan juga murid-murid kita untuk melihat hasil yang bagus di dalam perhubungan kita dengan rakan sekerja ataupun murid-murid kita. Pujian boleh dilakukan dengan cara berikut:

- Memuji apabila diperlukan. Apabila anda memuji semata-mata untuk memuji, pujian itu telah kurang nilainya.

- Memuji seseorang di depan orang lain. Kritik seharusnya secara empat mata, manakala pujian haruslah diberi di depan umum.

- Memuji dan menerangkan kenapa anda memujinya. Pujian sahaja tidak cukup. Cubalah memuji dengan pengatakan bahawa hasil kerja awak cantik, berfokus dan mudah difahami.

- Pisahkan di antara pujian dan kritikan. Apabila anda merasa seseorang perlu meningkatkan kualiti pekerjaan, janganlah memuji dan kemudian memberitahu bahawa dia sepatutnya melakukan yang lebih baik. Ketika itu, pujian anda tidak berguna lagi. Anda dilihat sebagai pelapik kritikan yang anda lemparkan padanya.

Namun, harus diingat pujian yang tidak tulus lebih buruk daripada tidak memuji. Ada orang yang menarik muka masam lalu berkata: "Kerja awak nampak hebat. Jarang orang melayu dapat buat macam awak." Yang sebenarnya kita tahu bahawa dia amat sinis terhadap kita. Pujian sebegini boleh memusnahkan hubungan anda dengan dia. Saat itu, dia mungkin berkata dalam hatinya: "Kalau macam ini, aku boleh buat seratus kali lebih baik daripada dia." Sekiranya anda sering memandang sinis kepada kerja orang, orang lain juga boleh memandang sinis kepada kerja anda. Sebaliknya, sekiranya anda sering menghargai seseorang walaupun dengan sedikit usahanya, pastinya anda akan mempunyai ramai rakan yang akan membantu anda.

Di dalam sebuah hadis Rasulullah, disebutkan bahawa melakukan kerja yang kecil pun dapat meningkatkan iman seperti di dalam hadis: Membuang sekelumit ranjau di jalanan pun adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan keimanan kepada Allah.

Sunday, March 18, 2012

PESAN SEORANG PROFESSOR...

Pesan saya kepada kamu yang akan menjadi guru

Menjadi guru itu adalah profesion yang mulia.
Oleh itu guru mesti sentiasa berilmu.
Guru mesti mahir menggunakan kaedah mengajar.
Guru mesti panjang akal.

Guru mesti mahir dalam bahasa budaya tinggi.
Bahasa budaya tinggi menjadi wahana budaya dan intelektual tinggi.
Bahasa rendah adalah untuk budaya rendah.
"Street language is for street people."

Ikutlah pesan Nabi Luqman a.s. kepada anak-anaknya.
Sederhanakanlah lagak dan suara kamu.
Orang yang suaranya kasar dan bongkak dibenci Tuhan.

Ada sebuah peribahasa Arab yang berkata,
orang besar bercakap fasal idea,
orang kurang besar bercakap fasal peristiwa,  
orang kecil bercakap fasal orang lain, dan
orang paling kecil bercakap fasal dirinya.

Jadilah orang besar.

Menjadi guru, bercakaplah fasal idea, fasal nilai, fasal ilmu, fasal budaya, fasal agama,
... bagi memandaikan anak bangsa.

Janganlah menjadi orang kecil, dan orang terkecil.

Semoga kamu menjadi guru yang berjasa
.

p/s : Terima kasih Prof..InsyaAllah..:)

Law Kana Bainana by Hafiz Hamidun

Thursday, March 15, 2012

BAYANGAN.....^_^








Subhanallah...
Alhamdulillah...
Allahuakbar..




















Andai cermin itu bayangan wajah..
Maka akhlak itu bayangan peribadi.
Andai pengetahuan itu bayangan ilmu..
Maka taqwa itu bayangan iman.

PADA SETIAP DEGUPAN JANTUNG..


Bismillahirrahmanirrahim..
Selagi hayat masih ada..selagi itu degup jantung ini terasa..

Wahai Pemilik hati....
Saat hati ini menangis, ingatkan kami bahawa ENGKAU Maha Mengetahui segala kesulitan...
Maha Suci ENGKAU Ya ALLAH dari menimpakan keburukan kepada hambaMU melainkan setiap sesuatu itu ada kebaikannya....

Duhai Pemilik hati...
Saat hati tersenyum..,
Insafilah hati ini bahawa kenikmatan itu tidak berkekalan..
Kesusahan dan kegembiraan itu ENGKAU pergilirkan.....
Ujian kebaikan dan keburukan, sesungguhnya untuk hati ini semakin hampir kepada Yang Maha Penyayang.


Wahai Pemilik hati...
Isikanlah hati ini dengan segala sangka baik, kesabaran, keikhlasan, keredhaan, ketenangan...
Merasa kehambaan yang berterusan hingga kami kembali menghadapMU Tuhan...
Ajari hati ini berpaut hanya padaMU yang memberi cinta...
Ajari hati ini memohon perlindungan dan kekuatanMU...
Jadikanlah kami cinta kepada amalan yang ENGKAU cintai...
Jadikanlah kami cinta kepada insan-insan yang mencintaiMU..
Di mana pun, dengan siapapun hati ini berada..
Jangan   biarkan hati ini menjauh dari kebersamaanMU Ya ALLAH..














PELANGI ITU PASTI HILANG..


Bismillahirrahmanirrahim..
Subhanallah..


Maha Suci Allah yang menciptakan pelangi di kaki langit. Maha Suci Allah yang menciptakan juga mata supaya kita dapat menikmati keindahannya - merah, kuning, hijau, biru… Namun seribu kali sayang, warna-warna di kanvas alam itu tidak kekal lama. Setelah beberapa ketika ia pasti akan hilang.

Begitulah pelangi, dan begitulah juga segala apa yang kita miliki semasa hidup di dunia ini, sampai masanya ia akan hilang. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Anak Adam berkata: Hartaku… hartaku… sedangkan tidaklah ada bagimu daripada hartamu kecuali apa yang kamu makan, lalu ia habis, atau apa yang kamu pakai, lalu ia lusuh, atau apa yang kamu sedekahlah, lalu ia berlalu daripadamu.”

Islam tidak pernah menolak dunia, malah agama suci ini menjadikan dunia sebagai jambatan menuju akhirat, dunia adalah alat untuk meraih kejayaan di sana. Dengan ertikata lain, syurga boleh dibeli dengan dunia. Namun, tidak ramai yang berpandangan begitu. Kebanyakan manusia berlumba-lumba mengumpul harta, anak pinak, pengikut dan seumpamanya bukan untuk mendapatkan akhirat.


Justeru, ketika menikmati keindahan pelangi, berimanlah juga kepada Pelukis-nya yang Maha Agung, kerana pelangi itu pasti hilang, tetapi Allah hidup dan tidak akan mati…

Tuesday, March 6, 2012

NILAI SEKEPING HATI..



Seketul daging. Terisi di dalamnya dengan seribu perasaan yang kadang-kadang sukar untuk diertikan manusia, Ramai yang lemah kerananya. Memilikinya tanpa sedar akan pengaruhnya. Kenapa ramai yang suka menjadi hambanya? Menurut segala kemahuannya tanpa bertanya pada akal yang lebih sempurna.
Hati. Segalanya bermula di situ. Hati yang penuh dengan kasih dan sayang, hati yang penuh dengan rasa benci dan dendam, hati yang sentiasa cintakan kedamaian, hati yang sentiasa inginkan kepuasan. Cantik dan buruknya perilaku seseorang bergantung pada ketulusan hatinya.

Betapa sukar untuk menjaga sekeping hati.Pernah kita menjaga hati dengan sebaiknya? Atau kita sering mencacatkan hati dengan kerakusan hawa nafsu semata? Manusia mampu mencipta nama segah mungkin. Mampu melakar rangkaian teknologi yang canggih. Mampu merungkai rahsia alam yang sukar untuk ditembusi. Namun mengapa manusia ini khilaf dalam menjaga sekeping hati nan suci?

Hati seringkali dipenuhi dengan hasad dan dengki, benci dan dendam yang tidak terperi sehingga mampu mempengaruhi tangan dan kaki bergerak, berfungsi tanpa mengikut rentak akal yang diberi. Mengapa sanggup membiarkan hati yang penuh dengan amarah ini menyentuh sekeping hati yang penuh dengan ketulusan kasih sayang yang suci? Puaskah hatimu mencerobohi kamar hati dengan kerakusan hawa nafsu sendiri? Puaskah?

Kerana hati, ramai yang tersungkur, rebah menjadi hamba duniawi. Apabila diri dipuji-puji, hati kembang tidak terperi. Mencipta keangkuhan dalam hati dan merasakan akulah yang terhebat di muka bumi ini. Melayarkan sayap kesombongan sehingga terlupa untuk berpijak di bumi.

Lupa pada erti kesyukuran atas nikmat yang telah Allah pinjamkan. Hanya kerana rentetan hati yang teruji dengan pujian yang menggunung tinggi. Apabila ditegur akan kesilapan diri, dengan angkuh dan sombongnya menolak kritikan sehingga menampakkan kekejian di hati. Tertawalah si Syaitan dan Iblis kerana berjaya menghunuskan pedangnya di hati manusia yang 'mati' dari cahaya Illahi. Tidakkah kita sedar semua ini?

Ada segelintir manusia yang merasakan dirinya sudah cukup hebat di sisi Ya Rabb. Solatnya, zikirnya, ibadahnya dirasakan sungguh cukup sempurna dan mampu melintasi titian sirat dengan mudah. Sehingga menciptakan segelumit rasa bangga di dalam hatinya kerana menyangka diri tergolong dalam golongan mukmin. Jangan!
Jangan pernah berprasangka seperti ini kerana hati manusia sangat rapuh. Sangat-sangat rapuh. Allah mengetahui sejauh mana keikhlasan hamba-Nya dalam mencari cahaya cinta-Nya. Rasulullaah S.A.W sendiri yang sentiasa dilindungi Allah, yang telah dijanjikan Allah syurga Firdausi tidak pernah walau sedetik pun meninggi diri memperkatakan amalan yang dilakukan sehari-hari.

Malahan Nabi kita ini beribadah sehingga bengkak kaki Baginda hanya untuk menuntut takwa dan kasih sayang Allah S.W.T. Maka, mengapa kita yang hanya hamba-Nya yang sangat-sangat kerdil merasa bongkak dan angkuh seperti itu? Adakah kita akan merasa aman kerana secara zahirnya kita soleh tetapi hati kita sebenarnya terselingkuh di kemudian hari? Tidakkah kita takut dengan amaran Allah?
Dari sekeping hati yang suci mampu berubah menjadi onar dan duri. Hati pada asalnya penuh dengan kelembutan dan kasih sayang agar kita saling menyayangi dan melindungi sesama sendiri tetapi apa yang telah terjadi pada detik ini? Kerana dendam kita bermusuhan. Kerana dengki kita mencipta pergaduhan. Kerana marah, kita sanggup meleraikan persahabatan. Rosak binasalah hati akhirnya membawa kemusnahan pada diri sendiri.

Inilah persoalan yang membungkam pemikiran hati ini. Perihal penyakit hati yang semakin meruncing yang menggugat keimanan dan melunturkan ketakwaan. Ukhuwah yang terjalin terlerai hanya kerana terpedaya dengan bisikan hati yang sentiasa di cucuk dengan hasutan Iblis.
Jangan gunakan kebencian dan kedengkian kerana apa pun kebaikan akan bernilai negatif di mata para pendengki. Jangan dibiarkan hati terus bernanah, membusuk sehingga kebusukan itu dapat dihidu oleh orang lain. Didiklah, tuntunilah hati ini dengan madah dan kata Allah.

Bersihkan hati ini dari kata yang kelam lagi suram. Jauhkanlah hati dari nafsu dan dendam. Dikhuatiri kita terus hanyut dalam jalan yang suram sedangkan jalan yang terang luas terbentang tidak dapat dilihat hanya kerana hati yang hitam penuh kegelapan. Semoga kita terlindung dari kekejian hati. Amin.
                                        ************************************************************************************************************
Ketahuilah bahawa di dalam dada manusia ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya, apabila ia rosak, rosaklah seluruhnya. Ketahuilah seketul daging itu adalah hati. [HR Bukhari dan Muslim]
************************************************************************************************************

Hebatnya Sabar.wmv

Sunday, March 4, 2012

AKU INGINKAN RAHMATMU..

Wahai pemegang jiwaku
Lemah hamba tanpa pegangan-Mu
Tiada kuasa hamba kecuali karena rahmat-Mu
Kasihanilah hamba dengan kasih-Mu

Dalam nikmat-Mu
Kudapati udara untuk bernafas
Seteguk air pelepas dahaga
Sesuap hidangan penguat tenaga
Ada cinta penghibur lara






Dalam keagungan-Mu
Mata hamba masih melihat kuasa-Mu
Telinga hamba masih mendengar ayat-ayat-Mu
Lisan hamba masih berucap asma'-Mu
Jiwa hamba masih bergetar kerana-Mu

Dalam rahmat-Mu
Masih ada yang tersenyum pada hamba
Masih ada yang merindukan hamba
Dan tak sedikit yang bergembira dengan hadir hamba

Ya Rabbi...
Bila ada yang Engkau ambil dari sisi hamba
Engkau kembalikan dengan yang lebih baik daripadanya
Bila ada yang masih melekat dengan diri hamba
Kumohon kebaikan padanya

Ya Rabbi...
Dalam doa kususun bait-bait permohonan pada-Mu
Berharap dalam kerendahan ampunan dan kebaikan
Dan bila tak Engkau beri pinta hamba
Namun Kau beri yang bermanfaat bagi hamba
Sesungguhnya pemberian-Mu lebih baik dari permohonan hamba

Ya Allah...
Dalam kuasa dan keagungan-Mu
Dekatkan hamba di sisi-Mu
Himpunkan hamba bersama kekasih-Mu
Izinkan hamba melihat wajah-Mu

Bukan hamba tidak rindukan surga-Mu
Namun..Yang lebih hamba rindukan adalah keredhaanMu dan cinta-Mu

Bukanlah hambamu ini tidak takut neraka-Mu
Namun..Yang lebih hamba takutkan adalah murka dan kebencian-Mu

Ampunan-Mu hamba harapkan dari amal hamba
Rahmat-Mu lebih luas dari dosa hamba
Jika hamba tak layak mendapatkan rahmat-Mu
Namun hamba berharap rahmat-Mu dapat menyentuh hamba

Ameen..

Thursday, March 1, 2012

PUJUKLAH HATI...


Jika seorang datang membuat kita marah, maka dia adalah 'guru' yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita selalu 'kesempitan' wang maka itu tandanya kita harus bersedia belajar erti berjimat cermat. Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap.
Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik. Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan izin Allah, yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik kerana tujuanNya mendidik pun pasti baik.
Apakah sebenarnya yang menjadi 'tujuan' di sebalik 'pelajaran-pelajaran' yang datang  dan pergi dalam hidup kita? Tujuan utama pelajaran dalam hidup ini adalah untuk mengubah kita ke arah yang lebih. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru   hidup ini sendiri adalah satu proses perubahan yang berterusan.
Sudah menjadi sunatullah (peraturan Allah) yang tidak berubah dalam hidup ini adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan ia diluar kawalan manusia. Kita akan kalah jika kita tidak berubah. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jika tidak, kita juga terpaksa berbuah, mengikut kawalan orang lain atau keadaan sekeliling.
Manusia umpama nakhoda yang belayar di lautan. Sebagai nakhoda kita punya arah dan destinasi tersendiri. Tetapi tiupan angin, pukulan gelombang dan cuaca tidak selalunya menyebelahi kita. Kekadang arah pelayaran kita ke utara tetapi angin bertiup ke selatan. Kita akan tersasar dari destinasi jika menurut sahaja tiupan angin.
Sebaliknya kita akan patah, jika  terus berkeras menentang tiupannya. Jadi, apakah kita menjadi 'Pak Turut' yang terpesong tanpa prinsip dan haluan? Atau bersikap keras, rigid dan akhirnya patah kerana kedegilan melawan gelombang?
Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata, "we can't direct the wind but we can adjust our sail." Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir  yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita. Inilah kelebihan manusia, sebagai khalifah.
Kita diamanahkan untuk mentadbir pendengaran, sentuhan, penglihatan, penciuman, penglihatan, fikiran, emosi, hati dan tindakan kita dalam lingkungan takdir-Nya. Oleh itu, dengan segala kuasa dan kelebihan yang ada, kita perlu berubah mengikut arah dan bentuk yang kita pilih dengan izin Allah jua.
Malangnya, ramai manusia yang tidak suka berubah. Ada kita bersikap 'selamba' dan 'relaks' dengan apa sahaja yang berlaku termasuk perubahan yang berlaku pada diri dan sekeliling mereka. Mengapa? Sebab perubahan ertinya hijrah atau berpindah. Setiap hijrah dan berpindah itu menagih kesusahan. Maksudnya, orang yang berhijrah terpaksa meninggalkan zon keselesaan (comfort zone) untuk menuju zon cabaran (courage zone).
Misalnya, anak kecil yang hendak berpindah dari tahap merangkak ke tahap berjalan, tentu terpaksa bertatih-tatih, jatuh bangun, jatuh dan terpaksa mengalami calar-calar dan sebagainya. Namun segala-galanya terpaksa dihadapi demi membolehkan dia berjalan. Apa akan jadi kalau ada anak kecil yang terus selesa merangkak dan tidak mahu belajar berjalan kerana takut cabaran? Tentulah tidak ada perkembangan dalam hidup. Maka begitulah para kita, dengan ujian mereka dituntut supaya berubah, jika tidak mereka tidak akan mencapai tahap kematangan untuk berjaya dalam hidup!
Rengkasnya, pelajaran dalam hidup datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna kita gagal dalam peperikasaan di universiti kehidupan kita. Apa yang menghalang kita berubah?
Salah satunya ialah keinginan untuk melihat orang lain, keadaan atau peristiwa di luar diri kita terlebih dahulu berubah. "Aku boleh jadi baik, jika guru dan ibu-bapaku melayanku dengan baik," begitu selalu yang kita dengar. "Kedudukan kewanganku boleh stabil, jika pendapatanku bertambah," kata sesetengah yang lain. "Jikalau aku mengenali seorang lelaki yang beriman, aku akan menjadi isteri yang solehah." "Kalau motorku dari jenis yang mahal, tentu aku tidak terlibat dengan accident lagi!"
Begitulah suara-suara kelohan dan harapan yang selalu diluahkan oleh hati kita. Semuanya, mengharapkan keadaan, individu lain dan peristiwa berubah – barulah kita mahu dan mampu berubah. Sedangkan hukum perubahan tidaklah begitu. Kita mesti berubah dulu, barulah keadaan, peristiwa dan individu lain berubah akibat perubahan kita.
Guru dan ibu-bapa akan melayan kita dengan baik, jika kita terlebih dahulu berusaha menjadi anak atau murid yang baik. Anda berjimat cermat dahulu, barulah kedudukan kewangan anda akan stabil. Anda jadi wanita solehah dahulu, barulah akan ada lelaki beriman yang akan melamar anda. Dan anda perlu baiki dan memandu motor 'buruk' anda dengan baik barulah anda tidak terlibat dengan 'accident' dan akhirnya layak untuk mendapat motor baru yang mahal harganya!
Ingat, setiap kali sesuatu menimpa kita, sama ada baik atau buruk... itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang. Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan kita hadapi... maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara berterusan... Nanti kita akan mencapai kebaikan secara berterusan pula.
Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan. Belajarlah di universiti kehidupan semasa masih ada masa lagi, supaya kita tidak diburu penyesalan apabila tempoh pengajian tamat (mati).
Kata pepatah, "belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu, belajar sewaktu tua bagai melukis di atas air." Teringat kata Dale Carnargie, "jangan gergaji abuk kayu!" Dan itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!
Buat diri ku dan diri mu, kuaklah tirai hari ini dan ingatkan diri... aku adalah pelajar di universiti kehidupan ini. Hari ini Allah pasti mengajar ku melalui perlakuan-perlakuan manusia lain kepada ku.  Dan aku mesti belajar dengan orang lain, kejadian, peristiwa itu – pahit atau manis.
Jika manis, Allah mengajarku erti syukur. Jika pahit, Allah mengajar ku erti sabar. Jika dikecewakan, aku sedang belajar hakikat tawakal. Bila cemas, Allah mengajar ku erti raja' (mengharap). Jika sedikit, Allah mengajar ku erti qanaah (berpada-pada). Ya Allah, lepaskan hati kami dari asbab-asbab ini, agar kami bebas dan tenang berpaut pada 'musabbabil asbab' (Penyebab segala sebab) – wajah MU ya Allah.
Pujuklah hati, katakan, didikan ini demi cinta-Nya jua.