Dengan Nama Allah Yang Maha Penyayang Lagi Maha Pengasih
Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Ampunilah dosa-dosaku, sama ada sedar atau tidak sedar. Hanya Engkaulah
yang dapat mengampuni dosa-dosaku yang banyak ini Ya Allah.
Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan yang Maha Mendengar rintihan
hamba-hambaNya. Hiasilah hatiku, peribadiku dan seluruh kehidupanku
dengan rasa kasih dan sayang serta mahabbah. Baikilah tutur kataku,
lisanku dan gerak lidahku supaya tidak mengaibkan orang lain.
Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan yang Maha Lembut.
Peliharalah akhlakku dan adabku di mana sahaja supaya aku dapat
memelihara diriku sebaik-baiknya. Pimpinlah aku untuk membentuk
bunga-bunga akhlak yang harum tatkala orang lain memandang rendah dan membenci
aku.
Ya Allah,
Dalam kesunyian malam ini, aku bangun untuk bersujud dan menghadap-Mu.
Aku menyerahkan seluruh jiwaku kepada-Mu. Jiwa hamba mengharap perhatian dan
ehsan daripada Tuhannya.
Ya Allah, hatiku amat resah, gelisah dan meronta-ronta kerana ujian
kecil yang Engkau berikan ternyata umpama batu besar yang menimpa seluruh
badanku. Tidak terdaya untuk aku menolak jauh-jauh batu besar itu.
Ya Allah, Tuhan yang Maha Mendengar, dengarkanlah....
Dengarlah rintihan hatiku ini. Bantulah aku Ya Allah. Aku tidak terdaya
untuk berhadapan dengan ujian jiwa yang berat ini. Berilah jalan keluar,
tunjuklah pintu-pintu penyelesaian yang terbaik buatku.
Ya Allah, barangkali ujian ini Engkau limpahkan kepadaku kerana aku
mulai renggang dengan Engkau, maafkan aku Ya Allah. Tak payahlah Engkau
menambah lagi beban hidupku ini. Engkau singkap sahaja penderitaanku supaya aku
dapat kembali sujud dan memohon keampunan-Mu Ya Allah.
Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan yang Maha Pengampun.
Aku tidak mengerti apakah ujian Engkau kepadaku untuk kali ini. Sakitnya
terasa hingga ke lubuk hati. Aku menanggung duka dan derita. Hanya Engkaulah
tempat aku mengadu keluhan dan rasa hati.
Ya Allah, bantulah aku, tolonglah aku. Tunjukkan pintu hidayah-Mu
kepadaku supaya aku dapat keluar dari ujian yang berat ini.Ya Allah, maafkan
aku, ampunilah kesalahanku.
Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
No comments:
Post a Comment