Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Dan demi RasulNya yang amat mengasihi ummatnya..
Ayuh kita hayati tajuk yang dititipkan..
Jika hendak dikirakan ’beriman’ dengan Allah, iblis laknatullah sepatutnya lebih tinggi imannya kepada Allah. Masakan tidak, dia pernah berdialog dengan Allah (dialog yang telah dirakamkan dalam Al Quran). Dia percaya kepada syurga dan neraka. Bukan sahaja percaya bahkan telah melihatnya. Syaitan yakin tentang adanya Hari Pembalasan.. Hendak diukur dari segi ibadah, ya ibadah iblis begitu hebat. Puluhan ribu tahun sujud, rukuk dan membesarkan Allah hingga terlantik sebagai ketua malaikat. Cuma satu… syaitan kecundang kerana tidak dapat menerima takdir Allah.
Takdir yang menentukan Adam
dipilih menjadi Khalifah dan dia diperintahkan sujud lambang hormat kepada
Allah dalam mentaati Allah. Syaitan tidak boleh menerima takdir ini.. Mengapa
dia yang dijadikan daripada api (sedangkan Adam hanya daripada tanah), mengapa
dia yang lebih ’senior’ dalam ibadah dan hiraki kepimpinan tidak terpilih
menjadi khalifah, sedangkan Adam hanya ’pendatang’ baru yang diciptakan
terkemudian?
Iblis sombong kerana tidak
menerima ketentuan takdir. Dan dia terhina kerana itu. Lalu kita siapa yang
mampu menidak dan meminggirkan takdir? Allah, itu Maha Besar, qudrat dan
iradatnya tidak akan mampu kita nafikan. Jika cuba menafikan, kita akan
terhina… seperti terhina iblis. Dilaknat dan dimasukkan ke neraka… kerana gugur
sifat kehambaannya!
Dalam episod hidup, takdir
datang menguji kita. Mengapa aku mendapat suami yang begini? Mengapa isteriku
tidak sebegitu? Kenapa ketua ku orang semacam dia? Kenapa anak ku cacat?
Mengapa isteri tersayang ku pergi dulu? Kenapa aku tidak kaya-kaya lagi
walaupun telah berusaha. Bila masalah melanda kita merasakan kitalah yang
paling menderita. Mengapa aku yang tertimpa nasib begini? Mulut berbicara
mengaku Allah itu Tuhan kita tetapi mengapa kehendak-Nya kita tidak rela?
Benarnya, masalah, ujian dan cabaran dalam hidup itu sangat berkaitan dengan
iman.
Iman iblis hancur berderai
bila diuji dengan takdir. Ego terpendamnya selama ini terserlah. Terbakar
hangus seluruh ibadah yang dibinanya ribuan tahun. Aduh, bagaimana pula kita
yang iman hanya setipis kulit bawang dan ibadah yang hanya sekelumit ini?
Pujuklah hati, terima takdir itu dengan rela. Katakan, ya Allah… sungguh
sakit, sungguh perit, tapi apakan daya, aku hambaMu, Kau lebih tahu apa yang
terbaik untukku berbanding diriku sendiri. Ya Allah, jangan Kau serahkan aku
kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata. Tadbirku seluruh dan sepenuh sujud
pada takdir MU.
Takdir
sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari
kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang
kita inginkan terjadi. Namun acapkali takdir dan tadbir bersalahan, maka
terjadilah apa yang kita tidak inginkan. Kita ingin putih, hitam pula yang
menjelama. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati
akan bertanya, apa lagi yang tidak kena? Semuanya telah kutadbirkan, tetapi
kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bungan ’pemberontakan’ dari dalam
diri hamba yang kerdil berdepan dengan Tuhan yang Perkasa. Samada di sedari
atau tanpa disedari…
Takdir daripada Allah
mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah)
yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa. Ilmu semata-mata
tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapa-kapa dalam ujian hidup
tanpa pedoman yang tepat. Justeru dengan akal semata-mata kita tidak akan
dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak sejalan dengan
diri dan kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan aku telah berusaha?
Untuk mengelakkan hal itu
terjadi maka kita mesti berusaha mencari-cari hikmah-hikmah yang terkandung
dalam ketentuan (takdir) Tuhan. Ya, hanya manusia yang sempurna akal (ilmu)
dan hati (iman) sahaja dapat menjangkau hikmah yang
terkandung di dalam cubaan dan bala yang menimpa duirinyanya. Kata orang,
hanya jauhari mengenal manikam.
Orang yang begini akan
menjangkau hikmah di sebalik takdir. Dapat melihat sesuatu yang lebih tersirat
di sebalik yang tersurat. Ya, mereka tidak akan beranggapan bahawa sifat
lemah-lembut Allah lekang daripada segala bentuk takdir-Nya – samada yang
kelihatan positif atau negatif pada pandangan manusia. Ertinya, mereka merasai
bahawa apa jua takdir Allah adalah bermaksud baik. Jika sebaliknya,
mereka merasakan bahawa Tuhan bermasud jahat dalam takdir-Nya, maka itu petanda
penglihatan hati tidak jauh, dan akalnya pendek.
Mengapa terjadi
demikian? Sebab iman belum mantap, keyakinan masih lemah dan tidak kenal Allah
dalam ertikata yang sebenarnya. Bila ketiga-tiga faktor itu sempurna, maka
barulah sesorang itu mampu melihat bahawa di dalam cubaan dan bala yang
ditakdirkan mengandungi hikmah-hikmah yang baik. Hanya dengan itu, seseorang
itu akan merasa senang dan bahagia dalam menghadapi sebarang ujian dalam
hidupnya.
Bagaimana kita dapat
meringankan beban hati ketika menghadapi ujian hidup? Ya, hanya pertalian hati
seorang hamba dengan Allah sahaja yang menyebakan ringannya ujian dan cubaan.
Hati yang disinar dengan cahaya Allah dan cahaya sifat-sifat-Nya akan
berhubung dengan Allah. Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak
dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa
keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.
Bila kita kenal Allah Maha
Pengasih dan Penyayang, kita tak boleh buruk sangka kepada Allah dengan
menganggap apa yang ditakdirkan (ujian) itu adalah sesuatu yang tidak baik.
Iktikad (yakin) kita semua ketentuan Allah itu adalah baik – ujian itu pasti
ada muslihat yang tersembunyi untuk manusia, akan menyebabkan hati terubat.
Walaupun pahit, ditelan jua. Sematkan di hati bahawa pilihan Allah untuk kita
adalah yang terbaik tapi kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila terjadi
nanti, barulah kita tahu.
Katalah kita ditimpa penyakit
atau kegagalan… itu mungkin pada hakikatnya baik pada suatu waktu nanti. Betapa
ramai, mereka yang sakit, tetapi akhirnya mendapat pengajaran yang besar di
sebalik kesakitannya. Contohnya, apa yang berlaku kepada Cat Steven… yang
sakitnya itulah yang menyebabkan beliau mendapat hidayah dan akhirnya memeluk
Islam? Dan betapa ramai pula yang gagal pada mulanya tetapi dengan kegagalan
itu bangkit jiwa juang yang lebih kental yang akhirnya membuah kejayaan? Hingga
dengan itu masyhurlah kata-kata bahawa kegagalan itu hakikatnya adalah kejayaan
yang ditangguhkan!
Para ahli hikmah (bijaksana)
merumuskan bahawa, antara hikmah ujian ialah, hati akan lebih tumpuan kepada
Allah. Dengan ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan penghadapannya
kepada Allah. Sebab bala dan ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan dan
syahwat manusia, seperti sakit, rugi, miskin dan lain-lain. Dengan ini nafsu
akan terdesak, tidak senang dan ingin lepas daripada ujian. Bila nafsu
terdesak, ia akan terdidik secara langsung. Ia akan tertekan dan menjadi jinak.
Hakikat ini akan membuka pintu rahmat Allah kerana nafsu yang liar sangat
mengajak kepada kejahatan. Bila nafsu hilang kekuatannya maka manusia tidak
akan jatuh ke lembah dosa dan maksiat dengan mudah.
Hati tidak dapat tidak mesti
bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana yakin Qada dan
Qadar Allah pasti berlaku. kerana manusia harus terima, tidak boleh menolak
ujian itu. Hamba yang soleh menanggung Qadar dengan sabar (bahkan) gembira
dengan pilihan Allah. (Ujian adalah pilihan Allah bukan pilihan manusia). Tidak
ada pilihan Allah yang tidak baik. Semuanya baik belaka.
Hakikat ini akan menyebabkan
kita akan lebih mendekat kepada agama. Hikmah ini walaupun sebesar atom tetapi
bila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun
sebesar gunung. Justeru, bila hati baik semua anggota badan menjadi baik.
Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:
“…Dan boleh jadi kamu
menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui,
sedangkan kamu tidak tahu.” Surah Al Baqarah : 216
Sesungguhnya, dalam ujian
Allah terselit nikmat-Nya. Mungkin kita tertanya-tanya apakah nikmatnya bila
sakit, miskin, gagal, dihina dan sebagainya? Hendaklah kita faham bahawa
nikmat di sisi Allah itu terbahagi dua. Pertama, nikmat lahir. Dan kedua,
nikmat batin (rohaniah). Nikmat lahiriah ialah sihat, selamat dan kebaikan
fizikal yang lain. Manakala nikmat batiniah ialah nilai-nilai keimanan,
keyakinan dan kesabaran. Dengan ujian kesusahan misalnya, barulah terbina sifat
sabar. Dan sabar itu adalah separuh daripada keimanan.
Ujian juga akan menghapuskan
dosa dan kesalahan seseorang terhadap Allah. Nabi Isa pernah berkata, ”belum
dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan
penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.” Bila
kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham
itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dosa kita. Bila kita gembira (terima
dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga
adalah Allah.
Jadi, apabila kita ditimpa
ujian maka berusaha dan berikhtiarlah untuk menangani ujian itu tetapi jangan
sesekali lupa mencungkil hikmahnya. Oleh yang demikian, apabila diuji,
terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir
Allah yang tidak ada hikmahnya. Ingatlah, bahawa orang soleh itu bila diuji,
hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.
Jangan sesekali kita menjadi
orang yang rugi yakni mereka yang buta daripada melihat hikmah justeru akal dan
hati hanya melihat sesuatu yang selari dengan hawa nafsunya sahaja. Ingatan
para hamba yang soleh kepada Allah akan bertambah dengan ujian-ujianNya. Mereka
merasakan ujian itu satu petanda yang Allah telah memilih mereka. Mereka
sentiasa berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) bahawa
setiap yang berlaku samada pahit atau manis pasti ada hikmahnya. Mereka tidak
melihat hanya ’asbab’ (sebab-sebab) tetapi matahati mereka dapat menjangkau
’musabbabil asbab’ (Penyebab – Tuhan).
Hati mereka berkata:
”Inilah hakikat hidup yang
dipilih Allah untukku. Aku akan terus berbaik sangka kepada Allah… DIA akan
mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik ujian ini. Ya, aku tidak
tahu, kerana ilmuku terbatas. Tetapi kerana Allah yang Maha Penyayang telah
memilih ujian ini untuk diriku maka aku yakin ilmu-Nya Maha luas. Yang pahit
ini akan menjadi ubat. Yang pedih ini akan menjadi penawar. Ya, Allah
tingkatkanlah imanku bagi mendepani setiap ujian dari-Mu!”
No comments:
Post a Comment