Hati.
Segalanya bermula di situ. Hati yang penuh dengan kasih dan sayang, hati yang
penuh dengan rasa benci dan dendam, hati yang sentiasa cintakan kedamaian, hati
yang sentiasa inginkan kepuasan. Cantik dan buruknya perilaku seseorang
bergantung pada ketulusan hatinya.
Betapa
sukar untuk menjaga sekeping hati.Pernah kita menjaga hati dengan sebaiknya?
Atau kita sering mencacatkan hati dengan kerakusan hawa nafsu semata? Manusia
mampu mencipta nama segah mungkin. Mampu melakar rangkaian teknologi yang
canggih. Mampu merungkai rahsia alam yang sukar untuk ditembusi. Namun mengapa
manusia ini khilaf dalam menjaga sekeping hati nan suci?
Hati
seringkali dipenuhi dengan hasad dan dengki, benci dan dendam yang tidak
terperi sehingga mampu mempengaruhi tangan dan kaki bergerak, berfungsi tanpa
mengikut rentak akal yang diberi. Mengapa sanggup membiarkan hati yang penuh
dengan amarah ini menyentuh sekeping hati yang penuh dengan ketulusan kasih
sayang yang suci? Puaskah hatimu mencerobohi kamar hati dengan kerakusan hawa
nafsu sendiri? Puaskah?
Kerana
hati, ramai yang tersungkur, rebah menjadi hamba duniawi. Apabila diri
dipuji-puji, hati kembang tidak terperi. Mencipta keangkuhan dalam hati dan
merasakan akulah yang terhebat di muka bumi ini. Melayarkan sayap kesombongan
sehingga terlupa untuk berpijak di bumi.
Lupa
pada erti kesyukuran atas nikmat yang telah Allah pinjamkan. Hanya kerana
rentetan hati yang teruji dengan pujian yang menggunung tinggi. Apabila ditegur
akan kesilapan diri, dengan angkuh dan sombongnya menolak kritikan sehingga
menampakkan kekejian di hati. Tertawalah si Syaitan dan Iblis kerana berjaya
menghunuskan pedangnya di hati manusia yang 'mati' dari cahaya Illahi. Tidakkah
kita sedar semua ini?
Ada
segelintir manusia yang merasakan dirinya sudah cukup hebat di sisi Ya Rabb.
Solatnya, zikirnya, ibadahnya dirasakan sungguh cukup sempurna dan mampu
melintasi titian sirat dengan mudah. Sehingga menciptakan segelumit rasa bangga
di dalam hatinya kerana menyangka diri tergolong dalam golongan mukmin. Jangan!
Jangan
pernah berprasangka seperti ini kerana hati manusia sangat rapuh. Sangat-sangat
rapuh. Allah mengetahui sejauh mana keikhlasan hamba-Nya dalam mencari cahaya
cinta-Nya. Rasulullaah S.A.W sendiri yang sentiasa dilindungi Allah, yang telah
dijanjikan Allah syurga Firdausi tidak pernah walau sedetik pun meninggi diri
memperkatakan amalan yang dilakukan sehari-hari.
Malahan
Nabi kita ini beribadah sehingga bengkak kaki Baginda hanya untuk menuntut
takwa dan kasih sayang Allah S.W.T. Maka, mengapa kita yang hanya hamba-Nya
yang sangat-sangat kerdil merasa bongkak dan angkuh seperti itu? Adakah kita
akan merasa aman kerana secara zahirnya kita soleh tetapi hati kita sebenarnya
terselingkuh di kemudian hari? Tidakkah kita takut dengan amaran Allah?
Dari
sekeping hati yang suci mampu berubah menjadi onar dan duri. Hati pada asalnya
penuh dengan kelembutan dan kasih sayang agar kita saling menyayangi dan
melindungi sesama sendiri tetapi apa yang telah terjadi pada detik ini? Kerana
dendam kita bermusuhan. Kerana dengki kita mencipta pergaduhan. Kerana marah,
kita sanggup meleraikan persahabatan. Rosak binasalah hati akhirnya membawa
kemusnahan pada diri sendiri.
Inilah
persoalan yang membungkam pemikiran hati ini. Perihal penyakit hati yang
semakin meruncing yang menggugat keimanan dan melunturkan ketakwaan. Ukhuwah
yang terjalin terlerai hanya kerana terpedaya dengan bisikan hati yang sentiasa
di cucuk dengan hasutan Iblis.
Jangan
gunakan kebencian dan kedengkian kerana apa pun kebaikan akan bernilai negatif
di mata para pendengki. Jangan dibiarkan hati terus bernanah, membusuk sehingga
kebusukan itu dapat dihidu oleh orang lain. Didiklah, tuntunilah hati ini
dengan madah dan kata Allah.
Bersihkan
hati ini dari kata yang kelam lagi suram. Jauhkanlah hati dari nafsu dan
dendam. Dikhuatiri kita terus hanyut dalam jalan yang suram sedangkan jalan
yang terang luas terbentang tidak dapat dilihat hanya kerana hati yang hitam
penuh kegelapan. Semoga kita terlindung dari kekejian hati. Amin.
************************************************************************************************************
Ketahuilah
bahawa di dalam dada manusia ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan
seluruhnya, apabila ia rosak, rosaklah seluruhnya. Ketahuilah seketul daging
itu adalah hati. [HR Bukhari dan Muslim]
************************************************************************************************************
No comments:
Post a Comment