Dengan lafaz "Bismillahirrahmanirrahim..., Aku Menyayangimu..."

Thursday, March 29, 2012

Menyuntik Harga Diri Insan Lain..

Bismillahirrahmanirrahim.
Salawat dan salam ke atas kekasih Allah, Muhammad s.a.w




Saya terus merenung jauh ke dalam. Saya merasakan idea yang saya cuba kongsikan bersama orang lain adalah baik. Namun mereka menganggap idea saya itu sebagai sampah. Saya renung lalu saya kembali sedar bahawa betapa pentingnya saya menghargai harga diri mereka dahulu sebelum mereka menghargai saya.

Harga diri orang adalah apabila anda berjaya membuat orang merasa percaya dan selesa pada dirinya sendiri. Cuba anda bayang tempat kerja yang penuh dengan iri hati, cemburu, kritikan yang membuat anda rasa terhina dan bersalah, hinaan yang boleh menghancurkan diri dan arahan ketua yang bukan bertujuan untuk membantu, tetapi lebih kepada menyalahkan diri anda. Pasti anda akan merasa tidak selesa dengan diri anda dan juga dengan tempat kerja anda. Dan pernahkah anda mendengar perbualan di sekolah atau pejabat di mana guru atau pekerja merungut kerana menerima pujian, penghargaan dan pengakuan?

Apabila menerima kritikan atau penilaian, seringkali kita merasakan kita dinilai dengan begitu hina sekali. Kita selalu mengadu bahawa kita tidak pernah mendapat penghargaan atas sumbangan yang kita lakukan. Kekurangan penghargaan inilah yang membuatkan guru mengambil keputusan untuk bertukar sekolah, pekerja bertukar pejabat. Guru-guru yang berpindah sekolah bukanlah mengharapkan gaji mereka naik, tetapi mereka mengharapkan agar tempat baru lebih menghargai usaha dan tenaga mereka.

Menyuntik kepercayaan diri pada orang lain akan menghasilkan kesan yang luar biasa. Manusia ada saat ceria dan berduka. Membantu orang-orang yang sedang berduka sehingga mereka mampu tersenyum dan ketawa menjadikan mereka merasa selesa dengan diri mereka. Sekiranya anda membantu mereka, mereka pastinya bersedia apabila anda meminta bantuan mereka.

Justeru, pujilah usaha rakan dan murid anda walaupun usaha mereka sedikit sahaja. Seseorang yang telah berusaha walaupun gagal berhak mendapat penghargaan. Mereka mungkin merasa kecewa dengan hasil yang diusahakan. Tetapi penghargaan anda dapat menjadikan mereka kembali bersemangat untuk melakukan usaha yang lain atau mengulang usaha yang sama. Ketika itu anda telah berjaya mengeluarkan mereka daripada lembah kekecewaan.

Bermula daripada saat ini, marilah kita mencuba untuk memberikan pujian kepada rakan-rakan dan juga murid-murid kita untuk melihat hasil yang bagus di dalam perhubungan kita dengan rakan sekerja ataupun murid-murid kita. Pujian boleh dilakukan dengan cara berikut:

- Memuji apabila diperlukan. Apabila anda memuji semata-mata untuk memuji, pujian itu telah kurang nilainya.

- Memuji seseorang di depan orang lain. Kritik seharusnya secara empat mata, manakala pujian haruslah diberi di depan umum.

- Memuji dan menerangkan kenapa anda memujinya. Pujian sahaja tidak cukup. Cubalah memuji dengan pengatakan bahawa hasil kerja awak cantik, berfokus dan mudah difahami.

- Pisahkan di antara pujian dan kritikan. Apabila anda merasa seseorang perlu meningkatkan kualiti pekerjaan, janganlah memuji dan kemudian memberitahu bahawa dia sepatutnya melakukan yang lebih baik. Ketika itu, pujian anda tidak berguna lagi. Anda dilihat sebagai pelapik kritikan yang anda lemparkan padanya.

Namun, harus diingat pujian yang tidak tulus lebih buruk daripada tidak memuji. Ada orang yang menarik muka masam lalu berkata: "Kerja awak nampak hebat. Jarang orang melayu dapat buat macam awak." Yang sebenarnya kita tahu bahawa dia amat sinis terhadap kita. Pujian sebegini boleh memusnahkan hubungan anda dengan dia. Saat itu, dia mungkin berkata dalam hatinya: "Kalau macam ini, aku boleh buat seratus kali lebih baik daripada dia." Sekiranya anda sering memandang sinis kepada kerja orang, orang lain juga boleh memandang sinis kepada kerja anda. Sebaliknya, sekiranya anda sering menghargai seseorang walaupun dengan sedikit usahanya, pastinya anda akan mempunyai ramai rakan yang akan membantu anda.

Di dalam sebuah hadis Rasulullah, disebutkan bahawa melakukan kerja yang kecil pun dapat meningkatkan iman seperti di dalam hadis: Membuang sekelumit ranjau di jalanan pun adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan keimanan kepada Allah.

No comments:

Post a Comment