"Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.."
Dalam episod hidup, takdir
datang menguji kita. Mengapa aku mendapat suami yang begini? Mengapa isteriku
tidak sebegitu? Kenapa ketua ku orang semacam dia? Kenapa anak ku cacat?
Mengapa isteri tersayang ku pergi dulu? Kenapa aku tidak kaya-kaya lagi
walaupun telah berusaha. Bila masalah melanda kita merasakan kitalah yang
paling menderita. Mengapa aku yang tertimpa nasib begini? Mulut berbicara
mengaku Allah itu Tuhan kita tetapi mengapa kehendak-Nya kita tidak rela?
Benarnya, masalah, ujian dan cabaran dalam hidup itu sangat berkaitan dengan
iman.
Iman iblis hancur berderai
bila diuji dengan takdir. Ego terpendamnya selama ini terserlah. Terbakar
hangus seluruh ibadah yang dibinanya ribuan tahun. Aduh, bagaimana pula kita
yang iman hanya setipis kulit bawang dan ibadah yang hanya sekelumit ini?
Pujuklah hati, terima takdir itu dengan rela. Katakan, ya Allah… sungguh
sakit, sungguh perit, tapi apakan daya, aku hambaMu, Kau lebih tahu apa yang
terbaik untukku berbanding diriku sendiri. Ya Allah, jangan Kau serahkan aku
kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata. Tadbirku seluruh dan sepenuh sujud
pada takdir MU.
Takdir
sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari
kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang
kita inginkan terjadi. Namun acapkali takdir dan tadbir bersalahan, maka
terjadilah apa yang kita tidak inginkan. Kita ingin putih, hitam pula yang
menjelama. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati
akan bertanya, apa lagi yang tidak kena? Semuanya telah kutadbirkan, tetapi
kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bungan ’pemberontakan’ dari dalam
diri hamba yang kerdil berdepan dengan Tuhan yang Perkasa. Sama ada di sedari
atau tanpa disedari…
Takdir daripada Allah
mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah)
yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa. Ilmu semata-mata
tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapa-kapa dalam ujian hidup
tanpa pedoman yang tepat. Justeru dengan akal semata-mata kita tidak akan
dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak sejalan dengan
diri dan kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan aku telah berusaha?
Untuk mengelakkan hal itu
terjadi maka kita mesti berusaha mencari-cari hikmah-hikmah yang terkandung
dalam ketentuan (takdir) Tuhan. Ya, hanya manusia yang sempurna akal (ilmu)
dan hati (iman) sahaja dapat menjangkau hikmah yang
terkandung di dalam cubaan dan bala yang menimpa duirinyanya. Kata orang,
hanya jauhari mengenal manikam.
Orang yang begini akan
menjangkau hikmah di sebalik takdir. Dapat melihat sesuatu yang lebih tersirat
di sebalik yang tersurat. Ya, mereka tidak akan beranggapan bahawa sifat
lemah-lembut Allah lekang daripada segala bentuk takdir-Nya – samada yang
kelihatan positif atau negatif pada pandangan manusia. Ertinya, mereka merasai
bahawa apa jua takdir Allah adalah bermaksud baik. Jika sebaliknya,
mereka merasakan bahawa Tuhan bermaksud jahat dalam takdir-Nya, maka itu petanda
penglihatan hati tidak jauh, dan akalnya pendek.
Mengapa terjadi
demikian? Sebab iman belum mantap, keyakinan masih lemah dan tidak kenal Allah
dalam ertikata yang sebenarnya. Bila ketiga-tiga faktor itu sempurna, maka
barulah sesorang itu mampu melihat bahawa di dalam cubaan dan bala yang
ditakdirkan mengandungi hikmah-hikmah yang baik. Hanya dengan itu, seseorang
itu akan merasa senang dan bahagia dalam menghadapi sebarang ujian dalam
hidupnya.
Bagaimana kita dapat
meringankan beban hati ketika menghadapi ujian hidup? Ya, hanya pertalian hati
seorang hamba dengan Allah sahaja yang menyebakan ringannya ujian dan cubaan.
Hati yang disinar dengan cahaya Allah dan cahaya sifat-sifat-Nya akan
berhubung dengan Allah. Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak
dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa
keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.
p/s : Credit to Ustaz Pahrol .
No comments:
Post a Comment