Dengan lafaz "Bismillahirrahmanirrahim..., Aku Menyayangimu..."

Saturday, October 1, 2011

Wahai Jiwa Yang Tenteram..Allah Sentiasa Mendengar Doa Kita..:)


Perasan atau tidak, insan selalu menjauhkan diri daripada Allah. Sikap dan akhlak insan terhadap Allah menyebabkan insan hilang pedoman, rasa terpencil dan tiada tempat meluahkan rintihannya.Sedangkan tempat untuk mengadu dan merintih senantiasa terbuka di sisi Allah. Kadang-kala seseorang insan rela ke sana-sini memohon bantuan dalam urusannya dari makhluk sehingga terlupa untuk memohon bantuan dan bertawakkal kepada Allah. Bersusah payah insan berjumpa orang lain demi mengadu rasa hati dan derita sehingga dia lupa untuk mengadu kepada Allah yang sentiasa mendengar rintihan hamba dengan penuh rahmat.

Ini semua kerana insan merasakan Allah itu jauh darinya dan dia lupa akan firman Allah yang bermaksud:

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya engkau (Wahai Muhammmad) tentangKu, (maka jawablah) sesungguhnya Aku ini hampir, Aku menjawab seruan sesiapa yang berdoa kepadaKu apabila dia berdoa. Maka hendaklah dia menyahut seruan (menunaikan perintahKu) dan beriman kepadaKu mudah-mudah mereka selalu berada di atas petunjuk” (al-Baqarah:186)




Sesiapa yang hatinya bersih akan menangislah dia apabila membaca ayat di atas. Betapa Allah dengan penuh kasih sayang meminta kepada RasulNya agar memberitahu bahawa Dia sangat hampir kapada mereka serta mendengar doa dan rintihan mereka.

Sabda Nabi s.a.w kepada Ibnu `Abbas ketika itu dia masih kecil yang bermaksud:

Wahai anak kecil! Sesungguhnya aku ingin mengajarmu beberapa kalimat, iaitu, jagalah Allah (jagalah perintahNya) nescaya Allah menjagamu. Jagalah Allah (jaga perintahNya) nescaya engkau dapati Dia berada di hadapanmu (menunaikan keperluanmu). Apabila engkau memohon pohonlah daripada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan minta tolonglah daripada Allah. (Riwayat al-Tirmizi)

Mafhum firman Allah: "Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kepadaKu nescaya Aku menjawab untuk kamu" (al-Ghafir:60)

Al-Imam al-Qurtubi dalam al-Jami’ li Ahkam al-Quran menyatakan bahawa perkataan ajib dan astajib (aku memperkenankan doa) bukanlah bererti semestinya setiap doa itu ditunaikan secara mutlak atau terperinci seperti yang dipohon.. Bahkan doa seseorang mungkin dimakbulkan melalui salah satu dari tiga cara seperti yang disebutkan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadith Abi Sa`id al-Khudri di bawah. Maksudnya:

"Tidak ada seorang muslim pun yang berdoa dengan sesuatu doa yang tidak ada di dalamnya dosa atau memutuskan kekeluargaan, melainkan Allah akan beri salah satu dari 3 perkara; sama ada disegerakan untuknya (dimakbulkan di dunia), ataupundisimpan untuknya pada hari akhirat (diberi balasan baik pada akhirat), ataupundiselamat dia dari keburukan yang seumpamanya."

Menerusi hadith di atas, baginda Nabi s.a.w. telah menerangkan kepada kita bahawa setiap doa yang tidak mempunyai sebab-sebab ditolak akan pasti diterima oleh Allah menerusi tiga keadaan berikut;

Pertama: Dimakbulkan segara di dunia. Inilah yang biasanya menjadi harapan setiap yang berdoa. Ramai di kalangan insan yang memperolehi kurniaan. Hasil kesungguhan mereka berdoa, Allah makbulkan buat mereka. Kadang-kala dengan begitu pantas. Kadang-kalanya dilewat disebabkan hikmah yang Allah Maha Mengetahui. Tiada yang mustahil untuk Allah menerima doa seseorang sekali dianggap mustahil oleh manusia.

Kedua: Tidak dilihat kemaqbulannya di dunia tetapi disimpan untuk balasan kebaikan yang besar di akhirat di atas hikmah yang hanya dihendaki oleh Allah. Kalau ini berlaku hendaklah kita fahami bahawa ianya adalah pilihan terbaik daripada Allah untuk kita. Akhirat adalah kehidupan yang hakiki, kebaikan di sana tidak ada tukar ganti dengan dunia yang sementara. Allah tidak memaqbulkan sesuatu doa secara mutlak di dunia kerana Allah Maha Mengetahui segala rahsia kehidupan alam,baik atau buruk di sebalik sesuatu perkara yang kita pohon. Akal kita kadang-kala tidak mampu menjangkau hakikat sesuatu.

Ketiga: Doa diganti dengan keselamatan diri dari keburukan yang akan mengenainya. Hasilnya, betapa banyak keburukan yang insan terselamat darinya dengan rahmat Allah yang barangkali datang hasil dari doa-doa kita yang berbagai kepada Allah.

Terdapat banyak lagi dalil yang menggambarkan begitu besarnya kelebihan
berdoa. Ini kerana doa adalah perlambangan tunduk serta rasa hina diri
dan berhajatnya insan kepada pertolongan Allah yang Maha Berkuasa.

Justeru itu, jangan kita sombong dengan Allah..Mintalah kepadaNya..
Jangan pula pernah ada rasa kesal, andai doa kita lambat dimakbulkan..
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui...
DIA beri kita apa yang kita perlu..bukan apa yang kita mahu..

No comments:

Post a Comment